Friday, September 23, 2016

Filled Under:

RIDZUAN PUZI: Budak Gerai Nasi Lemak yang digilap Menjadi Bintang Oleh Lelaki Bernama Coach Affizam. INI KISAHNYA.

Sebuah kisah jatuh-bangun dan perjuangan maruah seorang anak Cerebral Palsy. Digurukan oleh seorang lelaki kampung yang jauh daripada publisiti.



DI SEBALIK kemasyhuran yang datang berkobaran-kobaran seperti puting-beliung, yang telah menjulang nama dua anak watan Perlis — Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly — rupanya berdiri seorang lelaki yang tidak anda dan saya kenali — kerana keperibadiannya yang sangat merendah diri, yang menunduk seperti padi berisi, yang telah menggilap jaguhan kampung Perlis sehingga menjadi kejora Malaysia yang paling gemerlap bercahaya di temasya Olimpik Rio 2016.

“Tak mengapalah, ini kerja ikhlas, ganjaran dari Allah itu kan lebih besar...” lembut lafaz Encik Affizam bin Amdan, 46, orang Kangar, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis yang bertindak sebagai sukarelawan dan penggerak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, merangkap Jurulatih Atlet Paralimpik Majlis Sukan Negara.

Inilah satu-satunya lelaki yang telah menyaksikan jatuh-bangun Ridzuan Puzi sewaktu anak OKU ini berjuang membina stamina dan mengekarkan otot dari tubuh kurusnya, sewaktu dia masih berpijak di bumi Perlis. Ini adalah kisah benar, bagaimana sukarnya lelaki ini mengukir nama di atas batu, namun nama yang diukir itu kini terlekuk dengan indah, kekal sebagai sejarah keperwiraan pejuang-pejuang sukan OKU negara.


 

Boleh ceritakan bagaimana bermulanya sejarah kejurulatihan saudara bersama Ridzuan Puzi?

Sejarah bermula pada tahun 2004, apabila dia ditemui dalam satu pencarian bakat anjuran Jabatan Belia dan Sukan. Saya terlibat sebagai sukarelawan dan jurulatih atlet-atlet OKU. Kebetulan dia pun berpindah ke Perlis kerana mengikut ayahnya. Tidak lama selepas berpindah, ayahnya mendaftarkan Dek Wan sebagai OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis. Jadi ada dua projek untuk dia di situ. Satu sebagai atlet, satu lagi sebagai pelatih di bengkel kemahiran OKU.

Dek Wan ini dihantar ayahnya (seorang pemandu kerajaan) untuk menjalani latihan kemahiran asas perabot di Bengkel Batu Murni, Batu Bertangkup, Cuping, Perlis. Dengan kelengkapan asrama paling sederhana, Dek Wan mengikuti latihan asas membina perabot di situ.

Saya faham, ayahnya mahu Dek Wan belajar satu kemahiran lain. Bukan setakat belajar buat perabot, tapi belajar juga mengurus diri sendiri. Kerana ya, andai kata esok lusa dia dan isteri tiada lagi di dunia, siapakah pula yang akan menyelia makan-pakai dan menguruskan Dek Wan? Siapa yang boleh mereka harapkan kalau anak istimewa ini masih tidak pandai mengurus diri sendiri? 



Saya terkesan bakatnya apabila lihat prestasinya di kejohanan sukan peringkat zon, juga di kejohanan sukan OKU peringkat negeri. Terdetik di hati saya, budak ini ada bakat yang sangat-sangat istimewa. Tapi, kalau tiada sesiapa bertindak untuk segera ambil dan asuh dia, saya pasti bakatnya itu akan lupus begitu saja. Alangkah sia-sia kalau itu yang terjadi. Begitu fikiran saya.  


Jadi saya terilham untuk bertemu ibu ayahnya. Saya mohon keizinan untuk ambil Dek Wan. Biar dia ditempatkan hampir dengan saya, di satu lokasi yang mudah dan dekat untuk saya latih tubi dia setiap hari. Sejak itu saya berulang-alik dari bengkel (kemahiran) di Batu Bertangkup ke Kangar, Perlis untuk ambil Dek Wan setiap kali ada kejohanan yang dianjurkan oleh pihak jabatan. Begitu juga kalau ada latihan menjelang kejohanan, harus juga ulang-alik untuk jemput-hantar dia.

Jarak perjalanan itu kurang lebih 25 kilometer. Selalunya saya keluar rumah jam tiga petang, jemput Dek Wan di bengkel di Batu Bertangkup untuk bawa dia ke stadium, berlatih, kemudian hantar dia semula ke rumah. Dek Wan budak yang baik. Komitmen yang dia beri untuk latihan memang saya puji. Dua tahun rutin itu berterusan tanpa jemu. Tapi saya tahu, masa makin suntuk.



Sekitar tahun 2006 tak silap saya, Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri Besar Perlis waktu itu) menyerahkan empat buah gerai kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Datuk Haji Zulkifly bin Ramli. Lepas itu, saya dipanggil Datuk Haji Zulkifly, diberikan amanah untuk mentadbir selia keempat-empat unit gerai tersebut. Pesanan Datuk Haji, gunakanlah gerai ini untuk kebajikan anak-anak OKU.





Hasil musyawarah dengan sahabat-sahabat lain, saya akhirnya ambil keputusan untuk berbahagi-bahagi gerai ini dengan individu-individu yang layak mengusahakannya. Gerai pertama, diserahkan kepada bapa kepada seorang anak Down Syndrom. Di unit gerai yang diberi itu, dia gunakan untuk menjual kuih-muih tradisional. 
Gerai kedua pula dijadikan kedai jahitan, diuruskan oleh sahabat saya, seorang atlet para Perlis yang berkerusi roda. Isterinya juga seorang OKU. Tetapi faktor cacat fizikal langsung tidak menghalang mereka berdua bekerja kuat mencari rezeki yang halal di atas tapak yang telah dianugerahkan oleh pihak kerajaan.

Gerai ketiga pula kami berikan kepada insan-insan OKU fizikal — misalnya yang kudung tangan, yang kudung kaki dan bermacam-macam kecacatan fizikal yang lain. Di sini, mereka menjual labu-labu sayung dan pasu-pasu perhiasan yang dikraf sendiri.



Gerai terakhir yakni gerai keempat, adalah kamar paling bersejarah, kerana di dalam kamar kecil inilah, atlet yang anda semua sanjung dan puja sekelip mata —Dek Wan — menumpang teduh, ketawa dan menangis, berduka dan berbahagia dengan kawan sebiliknya, juga seorang budak OKU, tetapi pekak dan bisu. 
Unit gerai itu tidak besar. Jadi saya memutuskan untuk ubah suai supaya Dek Wan boleh tinggal di situ, dapatlah dia berlatih sukan setiap hari tanpa perlu berulang-alik kerana rumahnya yang teramat jauh dari stadium. Ruang hadapan gerai kami manfaatkan untuk membuat jualan nasi lemak pada sebelah pagi. Malamnya pula, anak-anak istimewa ini menjual burger. 
 




Lantai simen yang sejuk kelabu itu saya alaskan dengan tikar getah kerana tak mampu beli ambal tebal. Jadilah… Namanya pun modal sendiri, berapa sangatlah gaji saya, memang itu saja yang terdaya. Dapatlah juga saya letakkan sebuah katil dua tingkat, sebuah kipas pendek yang ditenggekkan di atas kerusi plastik buruk, sebuah kipas berdiri, almari papan lapis nipis dua pintu, juga peti TV 14 inci untuk keselesaan dan hiburan Dek Wan dengan kawan-kawannya. Di kamar kecil itulah Dek Wan makan dan tidur, Dek Wan menonton TV dan bersolat. 

Di situ juga, Dek Wan dan kawan-kawan OKU yang lain bekerja. Mereka menjual nasi lemak, membuat burger, mencuci pinggan-mangkuk, mengemas gerai, menyapu, menggaras lantai, mengelap meja, membuat kraftangan, dapatlah gaji walau tak seberapa. Semenjak 2004 sampai 2010, kemudian 2011 dia berpatah balik duduk sekejap dengan saya, dan akhirnya masuk ke Majlis Sukan Negara tahun 2012 sebagai seorang atlet para profesional. 

Saya bukan orang senang. Kalau saya boleh petik balik, saya masih ingat lagi, Datuk Seri Shahidan pernah bantu kami, membekalkan vitamin-vitamin untuk tambah stamina anak-anak istimewa ini. Saya sudah lafaz janji kepada ibu bapa mereka, saya akan bela mereka. Tapi mereka mesti terima syarat saya, mereka kena terima keadaan saya seadanya.

Apa yang saya makan, itulah juga yang mereka akan makan. Nak beri lebih-lebih atau nak mewah-mewah, tak mampulah saya. 
 



Gerai nasi lemak itu masih wujud dan menempatkan anak-anak OKU yang baru?

Allah… Sedih mahu saya ceritakan. Tapi gerai itu baru saja dirobohkan tidak lama lepas Hari Raya Aidiladha untuk tujuan pembangunan. Tiap kali saya memandu merentasi jalan itu, melihat sisa-sisa bangunan gerai yang sudah ranap, hati saya sayu. Seperti semua kenangan saya bersama Dek Wan dan anak-anak istimewa yang lain hancur luluh, berpuing-puing menjadi debu. Hanya foto-foto lama yang kelam-kelam dalam telefon bimbit ini yang saya ada. Ya, bila rindu kenangan lalu, saya lihat kembali foto-foto ini. 








Ada sebarang peristiwa bersama Dek Wan yang saudara tidak akan lupakan sampai bila-bila?

Ayahnya pernah belikan basikal untuk dia, untuk kemudahan dia berulang-alik dari gerai nasi lemak ke stadium untuk berlatih. Nak dijadikan cerita, satu hari, basikalnya hilang kerana dicuri orang. Luluh hati saya lihat dia menangis tersedu-sedu. Ada satu lagi kejadian berlaku pada awal tahun 2008. Masa itu, kami berlatih di Gunung Medan, Utan Aji. Dek Wan macam biasa, pakai kasut biasa yang bukan saja dan buruk, tapi rosak. Semasa sedang berlatih, ada seorang lelaki Cina bertanya kepada saya, "Ini budak OKU mau berlatih untuk apa?"

Lalu saya jawab, mereka berlatih untuk wakili negara dalam ASEAN Para Games 2009. Lelaki Cina itu gelak mengelekek tak percaya. Mungkin dia ingat saya bergurau. Walaupun dia ketawakan kami, orangnya baik. Kerana kasihan melihat keadaan kasut Dek Wan yang rosak, dia kata kepada saya, "Saya mau bagi ini budak kasut baru. Nanti esok lu datanglah tempat saya."

Keesokannya, saya pergi ke tempat kerja lelaki Cina itu. Benar bagai dijanjinya. Sepasang kasut sukan Asics yang cantik dan mahal telah disediakannya untuk Dek Wan. Saya pulang membawa kasut baru itu dengan hati paling bersemangat. Benarlah janji Allah SWT, rezeki itu didatangkan dalam banyak bentuk dan cara.

Ada satu lagi peristiwa, kalau saya boleh sebut di sini, bilamana ibu saudara yang rapat dengan dia meninggal dunia. Jadi dia datang ke rumah saya, mengongoi… menangis mendudu-dudu. Saya terperanjat. Mengapa dia menangis begitu sekali? Masa itu saya baru saja menjadi jurulatih dia, jadi saya tak faham apa yang dia cuba sampaikan disebabkan dia tak boleh bertutur dengan sempurna. Bila saya menelefoni ayahnya, barulah saya tahu cerita sebenar. Jadi saya ambil inisiatif untuk tambah satu lagi latihan untuk Dek Wan, saya ajar dia bagaimana nak berkomunikasi dengan bahasa isyarat.

Latihan larian memang ketat, selalunya kami buat di pusat rekreasi. Jarak keseluruhan denai larian di pusat rekreasi tu, dari pintu masuk pintu rekreasi sampai hujung, lebih kurang tiga kilometer pergi, tiga kilometer balik.

Jadi latihan wajib untuk dia, dia kena lari enam kilometer setiap hari. Kemudian saya tingkatkan latihannya, enam kilometer pagi, enam kilometer petang.



Kemudian kita buat speed trail untuk gandakan kekuatan dia. Hari Ahad kita bawa dia berlari naik bukit, berbasikal, malah berkayak pun dia ikut kita. Anak istimewa seperti Dek Wan ini, tak boleh kita biarkan berlatih (berlari) sendirian. Mereka perlu diteman sepanjang masa. Kerana itu, saya dan kawan-kawan yang lain sama-sama berlatih. Sambil kita ikut rentak mereka, kita didik dan asuh mereka.

Mereka ini perlu didorong, perlu dipandu. Mengasuh anak-anak OKU ini juga kena sabar. Tepatlah perumpamaan orang dulu-dulu, umpama melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Ternyata kerja keras dia sejak remaja membuahkan hasil. Alhamdulillah.

Prinsip saya, kalau kita usahakan sesuatu, kita mesti buat sehabis baik, kita mesti selesaikan sampai sudah. Kita jangan buat kerja sekerat jalan. Dan itu jugalah janji Dek Wan kepada saya sebelum kami berpisah dulu (sebak).
 


Saudara sempat saksikan saat-saat kemenangan Dek Wan?

Ya, saya tonton siaran langsung Sukan Olimpik Rio 2016 melalui YouTube beramai-ramai dengan anak-anak atlet OKU Perlis yang lain di Dataran 360, Dato Sheikh Ahmad, Kangar… lebih kurang jam tiga pagi, waktu embun tengah menitik. Kami gembira sangat-sangat bila Dek Wan memang, Latif menang. Kami rasa sebak dan sedih sangat-sangat. Kami menangis…

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Semua perasaan bergaul-gaul. Terkenang kembali bagaimana susahnya kami nak berlatih dulu, kena merayu minta izin guna stadium, kena bertahan dengan baju dan kasut sukan murah, kena sabar dengan prasarana latihan yang seadanya, dengan duit yang tak berapa nak ada… Allah, rupa-rupanya inilah ganjaran buat dia.

Sebelum dia berlawan (di Rio) dia ada telefon saya, “Wan….nak… lawan… petang… ni… Mintak… tolong…doakan… berjaya…”

Saya sudah berdamping lama dengan dia, dekat lapan tahun, jadi insya-Allah, saya faham apa yang dia cuba sebut. Saya faham dan tahu apa yang dia mahu sampaikan. Dia ini tak pernah pergi sekolah, membaca dan menulis tak pandai. Kalau nak menulis nama sendiri pun tak lepas. Tapi semangat dia untuk berjuang itu memang hebat. Keikhlasannya luar biasa. Dia mungkin cacat. Tapi hatinya suci bersih, hatinya paling sempurna berbanding kita semua.



Waktu berjumpa dia di KLIA semalam, dia peluk saya, dia menangis teresak-esak. Saya pun menangis sama. Sebak sangat hati ini. Sewaktu memeluknya, memori lama datang menderu-deru di mata. Terbayangkan kisah-kisah lama kami berlari bersama, berbasikal, mendaki bukit, berkayak. Teringat semula bagaimana dia selalu berselera dan tidak pernah merungut memakan masakan isteri saya setiap hari. Apa yang isteri saya masak, dia makan tanpa banyak cerita. Dia memang budak yang sangat baik. Isteri saya juga seorang OKU seperti Dek Wan dan anak-anak istimewa yang lain. Isteri saya pekak dan bisu. Pengorbanannya sungguh besar. Walau isteri saya tak mampu mendengar dan berkata-kata, dia faham tugas dan tanggungjawab saya. 

Kasih sayang ini tidak terbina atas nama kemasyhuran. Kasih sayang ini terbina atas dasar sama-sama mahu memajukan diri, mahu mengubah nasib keluarga, mahu buktikan kepada masyarakat, bahawa anak serba kekurangan ini juga mampu menabur bakti. 

Anak-anak Cerebral Palsy (CP) dan berjenis-jenis OKU yang lain ini bukanlah beban. Mereka bukan sampah kepada masyarakat. Anak-anak CP ini, kalau digilap dengan betul, mereka mampu menjadi anak yang jauh cemerlang dan jauh luar biasa daripada anak-anak normal lain yang cukup sempurna sifat dan kejadiannya.

Ini semua kehendak Allah. Ini semua adalah balasan dan takdir Allah untuk budak berhati suci seperti Dek Wan. Hinaan atau pandangan jijik segelintir masyarakat semasa dia terdingkut-dingkut berjalan dulu, terpadam serta-merta hari ini. Tiba-tiba dia menjadi pujaan dan sanjungan luar biasa, tiba-tiba dia menjadi jutawan sekelip mata. Semasa kehadirannya menjengkelkan banyak orang lain dulu, dia ambil semua itu sebagai cabaran. Dia bulatkan tekad, dia bekerja keras mahu buktikan bahawa dia bukanlah anak yang sia-sia. Ternyata benar, dia tidak mensia-siakan hidupnya. 


 

Pesanan saudara buat Dek Wan?

Bila kita sudah berjaya, janganlah lupa jasa-jasa ibu bapa, janganlah lupa sokongan jurulatih-jurulatih lama di kampung Perlis… (sebak), janganlah lupa asal-usul, jangan juga lupa masa lalu kita, susah-senang yang pernah kita lalui bersama. Dek Wan sekarang adalah ikon besar buat semua anak-anak OKU Perlis. Maka pemerkanlah pekerti dan budi bahasa yang baik. Jangan ubah diri Dek Wan… jangan sombong, jangan takbur.  

Pesanan saudara untuk anak-anak OKU di luar sana, yang ingin menempa nama seperti Ridzuan Puzi dan Latif Romly?

Contoh sudah ada. Komitmen saya sebagai jurulatih semasa saya melatih Dek Wan tak pernah berubah sampai hari ini. Di tangan saya hari ini, alhamdulillah, ada beberapa lagi bakat hebat, dengan izin Allah, mereka bakal mengisi armada pelapis negara. Sekarang ini contohnya, team atlet OKU yang saya pegang, kami perlu masuk untuk berlatih di gimnasium dua kali seminggu. Yuran masuk RM5 seorang. Saya terpaksa minta masing-masing keluarkan duit RM2 setiap seorang. Untuk RM3 yang selebihnya, saya tanggunglah untuk lapan orang anak-anak OKU ini.

Macam yang saya kata tadi, saya bukan orang senang, ini saja yang saya mampu bantu dengan gaji saya sebagai office boy. Saya berharap sangat, di peringkat nasional, usaha kecil kami mempersiap dan menggilap bintang di peringkat negeri ini, mendapat sokongan dan perhatian yang sama adil.



Latif Romly pun, jika boleh saya sebut asal-usul sejarah kesukanannya, sebelum dia masuk ke MSN, dia juga di bawah latihan saya semenjak 2013. Masa itu, dia masih bersekolah dalam tingkatan empat, dan dia atlet sukan sekolah Pendidikan Khas. Apabila saya mendapat tahu ada satu lagi bakat kampung yang berpotensi besar untuk digilap, saya segera ambil alamat rumahnya, saya terus ke rumah Latif. Keadaan keluarga dan rumahnya agak daif. Yang terdetik di hati saya waktu itu, cumalah semata-mata niat untuk bantu dan dorong Latif menerima latihan yang lebih baik dan terancang. Mana tahu, suatu hari nanti, dia dapat ubah nasib keluarganya dengan bakat sukan? Rupa-rupanya betullah, memang itulah takdir Allah untuk dia.

Saya menerima tentangan guru sekolah Latif. Saya tahu mereka bimbang, kalau Latif fokus pada sukan, akademiknya terlepas lalu keciciran. Apatah lagi tahun 2014 adalah tahun untuk dia duduki SPM. Bukan saya tak faham. Saya faham sangat-sangat. Tapi saya rasa Latif harus pilih. Apa yang dia mahu dalam hidup? Dia tak boleh tamak, kerana kondisi fitrahnya dalam bidang akademik itu sendiri tak berapa mengizinkan. Kalau dia mahu capai satu perkara itu dengan cemerlang (sukan), maka dia perlu lepaskan yang lagi satu (akademik). Ini memang satu keputusan yang besar.

Saya tekad mahu bawa dia ke Sukan Para ASEAN dan Sukan Para ASIA. Alhamdulillah, dengan izin Allah, Latif berjaya dapat pingat emas. Selepas kemenangan, Latif kembali ke sekolah. Seperti yang telah dijangka, dia mengambil SPM namun tidak lulus. Tak  mengapalah. Ini sudah tertulis dalam takdir Allah.  



Sekarang dia dah jadi jutawan, dapatlah dia bantu keluarganya yang susah. Saya tumpang gembira. Kalau dikenang kembali, walau pernah kena marah dengan guru sekolah Latif kerana kata mereka, pelajaran lebih penting daripada sukan, Latif berjaya buktikan bahawa dia telah membuat pilihan yang betul. Pada hemat saya, pelajar Pendidikan Khas tidak boleh dipaksa menjadi murid yang cemerlang seperti murid normal jika agenda kita lebih cenderung pada nawaitu untuk ‘menumpang’ mereka, untuk menaikkan nama sekolah dalam bidang sukan.

Yang paling penting, adalah bagaimana kita bantu anak-anak istimewa ini menggali dan mengeluarkan bakat terpendam mereka. Kita gilap bakat itu biar bersinar. Rezeki mereka mungkin telah Tuhan lorongkan di trek sukan, maka berikanlah peluang untuk mereka mencuba. Jangan kita sekat mereka.

Demikianlah, kisah seorang lelaki yang telah berdiri dengan setia di belakang Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, yang telah mengenepikan kepentingan sendiri, yang telah meletakkan ganjaran wang, harta benda dan kemasyhuran di tempat kedua dan ketiga, kerana niat yang ikhlas dan mencari janji Allah SWT. Demikianlah kisah seorang guru kecil dari stadium jihad tidak berjenama, yang telah membentuk kecekalan, ketahanan minda dan kejatidirian luar biasa seorang anak Cerebral Palsy yang pernah diragui mampu mengurus dirinya sendiri.

Saya mendoakan semoga lebih ramai pengasuh, pendidik, pembimbing dan jurulatih seperti saudara Affizam bin Amdan, muncul, diilhamkan untuk terus mara memperjuangkan nasib atlet-atlet OKU 
— dengan sabar dan ikhlas — dan hati yang bebas daripada agenda-agenda tersembunyi, tidak menagih ganjaran wang ringgit dan apa sahaja yang bersifat materi. 





0 comments:

Post a Comment