Thursday, May 19, 2016

Filled Under:

8 Tips Amalan Makanan Sunnah Untuk Bakal² Ibu Mengandung

Gambar dari neenaanuar.blogspot.com

Sudah lama sebenarnya saya mahu berkongsi pengalaman kami suami isteri dengan seorang doktor pakar sakit puan yang sangat Islamik. Isteri saya mengandung kali pertama pada tahun 2013. Masa itu, seronok bila dapat tahu isteri mengandung. Pergi cek di klinik, memang sah mengandung.

Tidak lama selepas itu, isteri saya keguguran. Mungkin sebab masih belum arif bagaimana mahu menjaga kandungan dan kami pula selalu keluar jalan-jalan. 

Selepas keguguran itu, kami lebih kenal dengan Doktor Marsita Mansor, pakar sakit puan yang kliniknya terletak di Taman Melati. Masa itu, dia adalah panel di beberapa hospital, antaranya Columbia Asia Setapak, KPJ Ampang Puteri dan pernah juga bertugas sebagai doktor di timur tengah. Lupa pula di negara mana.

Sebenarnya kami pun kebetulan saja kenal. Saja-saja nak pergi cek keguguran di klinik pakar itu memang rasanya bukan pilihan kami kerana hanya saya sahaja yang bekerja, manakala isteri saya belum posting lagi. Memang kena jimat duit sangat pada masa itu. Rumah sewa di Kuala Lumpur pada ketika itu, RM500 ke atas. Mujur ada ibu saudara saya yang baik sangat mengizinkan kami menumpang di rumahnya.

Rumah mak saudara saya ada dua tingkat. Kami duduk di bilik tingkat atas. Jadi saya kena dukung isteri panjat naik tangga sewaktu balik dari rawatan keguguran itu. Di rumah ada anak dia, darjah 5 dan ada seorang bibik. Bibik itulah yang menjadi kawan sembang Aimi Nazihah semasa saya pergi bekerja. 

Bila isteri saya bleeding, saya bawa ke klinik biasa. Tetapi doktor kata tak boleh kesan sama ada betul-betul gugur atau tidak. Alat yang klinik gunakan itu, gambar scannya tidak jelas. Jadi doktor di situ meminta saya membawa isteri membuat pemeriksaan dengan kawannya, Doktor Marsita Mansor di Klinik Medina, Taman Melati. Doktor siap buat surat kes kecemasan kepada Doktor Marsita. 

Kami pun pergilah ke klinik pakar Medina dengan membawa surat itu. Sampai di klinik, isteri saya mendapat rawatan pada hari itu juga. Padahal ramai orang yang menunggu giliran dari siang tadi. Bila ditanya pada kakitangan di kaunter, barulah kami tahu yang klinik itu tak boleh nak buat check up sesuka hati. Perlu buat temujanji paling kurang sebulan. 

Isteri saya keluar dari klinik selepas membuat rawatan keguguran itu pun pada jam 4 pagi masih ramai juga orang. Tetapi rezeki kami dapat berjumpa dengan Doktor Marsita sebab kes kecemasan.

Selepas itu, setiap kali appointment kami akan berjumpa dengan Doktor Marsita dan tiap kali berjumpa mesti kami akan mendapat ilmu baru. Inilah yang saya nak kongsikan dengan kawan-kawan tentang permakanan.

Perkara pertama yang kami teruja dengan perkongsian Doktor Marsita ialah bila kami beli produk gamat. Masa check up itu kami beritahu doktor yang kami beli produk gamat untuk cepat menyembuhkan keguguran itu. Namun doktor tak bagi minum. Agak terkejut juga sebab harga sebotol dalam RM70 lebih, dah terbeli pula. (1) Rupa-rupanya doktor cakap gamat itu super healing. Maksudnya dia akan melekatkan apa yang tidak sepatutnya melekat dalam perut bila kita minum. Kami pun buang saja sebotol besar itu. Doktor berkata demikian bukanlah sekadar 'cakap kosong', tetapi berdasarkan kajian.

Nak kata Doktor Marsita tak percaya pada kaedah tradisional tak juga sebab doktor itu memang pengamal herba. Di klinik dia penuh dengan produk-produk herba yang dijual. (2) Bila mengandung anak pertama pun, Doktor Marsita tak bagi pil acid folic pada isteri saya. Doktor suruh makan kurma 7 biji setiap hari kerana di dalamnya mengandungi banyak acid folic dan cukup untuk ibu mengandung.

Kemudian doktor ajar lagi, "kalau tak lalu nak makan kurma 7 biji setiap hari, blender kurma itu banyak-banyak dan simpan dalam peti ais, bolehlah diminum untuk setiap hari. Doktor suruh kami buat sendiri semua, jadi kami pun blender sendiri. 

Disebabkan isteri saya check up dan bersalin kedua-dua orang anak dengan doktor ini, jadi kami memang rapat dengan doktor. Ada sekali itu saya bawa mak saya pergi check up di sini. Masa mak keluar dari bilik Doktor Marsita, Dato' Siti Nurhaliza pula masuk check up. Rupa-rupanya artis pun ada check up di sini.

Ramai yang suka dengan cara Doktor Marsita yang Islamik, peramah, selalu berdoa semasa merawat, masa nak memulakan rawatan pun mesti baca bismillah. Sebab itu kami sanggup berjimat semata-mata mahu mendapatkan rawatan di sini. Bukan sebab nak berbangga dengan rawatan yang mahal tetapi sebab ilmu dan tips yang selalu doktor beri, rasanya tidak ternilai harganya. Ning Baizura pun check up di sini tahu?

(3) Tips seterusnya, ada orang yang tak boleh menelan minyak zaitun kan? Saya dengan isteri pun sama. Tetapi bila cekalkan hati, demi kebaikan baby dalam kandungan itu, Aimi Nazihah minum juga. Saya pun turut minum untuk beri semangat pada isteri. Saya tak susah sangat nak biasa sebab dulu pernah amalkan semasa aktif dalam dunia herba dengan HPA.

Doktor kata, ada seorang pesakit itu bila disuruh amalkan minyak zaitun, dia cakap doktor bagi dia makan sampah. Memang rasa tak sedap tetapi alhamdulillah sampai sekarang kami masih amalkan. Lama kelamaan, tekak sudah menjadi biasa. Minum satu sudu saja di waktu pagi sebelum makan apa-apa.


(4) Pati delima dengan madu pun kami minum sampai sekarang. Ini juga yang disyorkan oleh doktor. Masa Insyirah berumur 1 tahun pun kami dah bagi minum madu, minyak zaitun dan pati delima. Insyirah sangat suka minum. Pesanan untuk ibu bapa, bagus kalau kita boleh ajar anak amalkan benda-benda seperti ini dari usia kecil lagi. Bila sudah dewasa kelak, tiadalah kesukaran untuk membiasakan diri dengan herba.


(5) Madu ini ada satu lagi tambahan yang doktor ajar. Ambil air suam, campur madu, letak 7 ke 8 urat za'faran. Za'faran ini kena beli yang debunga itu. Debunga asalnya. Jenuh jugalah kami nak mencari kedai yang menjualnya. Klinik itu ada jual tetapi nak cari yang dekat dengan rumah. Bila warna air sudah kekuningan, bolehlah minum. Aimi selalu bawa bekal pergi sekolah.

Dulu saya ini jenis yang suka makan kacang pagoda, makan bagi hilang mengantuk semasa memandu. (6) Tetapi sejak doktor ajar makan kacang-kacang yang berkualiti, saya tukar cara pemakanan. Harganya memang boleh tahan mahal tetapi fikir positif. Isteri saya alhamdulillah boleh amalkan masa itu. Badam, hazelnut, walnut, pistachio itu semua sangat bagus kalau ibu-ibu mengandung amalkan. Beli banyak-banyak dan ratah saja semasa duduk di tempat kerja atau dalam kereta. Tetapi dalam banyak-banyak kacang itu yang paling tak sedap ialah walnut, sebab rasanya tawar.

Walaupun agak mencabar nak makan banyak-banyak, doktor cakap walnut itu bentuk dia pun Allah dah jadikan seperti bentuk otak manusia. Jadi dia memang sangat baik untuk pertumbuhan otak bayi dalam kandungan.

(7) Oh lupa, ada satu lagi, Cranberry. Doktor suruh makan cranberry sebagai ganti kepada asam-asam. Ibu-ibu mengandung mesti nak makan asam kan? Carilah cranberry selepas ini. Kalau tak tahu bagaimana rupa bentuknya, Google saja. Bagus sangat untuk kencing kotor. 

(8) Yang terakhir ialah susu kambing, ini semua orang tahu bagaimana rasanya. Cuma doktor kurang galakkan minum susu kambing yang dalam sachet itu sebab banyak creamer daripada susu. Lebih baik cari susu segar. Tetapi kalau susah nak cari susu kambing segar, beli susu Good Day. Minum setiap hari sebab bayi perlukan banyak kalsium. Susu Good Day ini antara yang paling segar dari ladang sebab doktor ajar tengok tarikh luputnya, sekejap saja dah tamat tempoh. Cari di pasar raya, mesti ada, Kalau dah tak ada, susu kambing dalam sachet itulah pilihan terakhir yang boleh diminum.

Walaupun saya jadi ejen Unit Trust Public Mutual sebagai part time, tetapi dalam kesibukan pun saya tetap usaha menjaga kualiti makanan anak-anak sehingga kini. Semasa isteri saya mengandung lagi, doktor sudah pesan jangan sentuh makanan segera. Kalau nak makan ayam pun, belilah ayam organik atau cari ayam kampung.

Sebenarnya banyak lagi ilmu yang kami dapat dari Doktor Marsita, tetapi tak sempat nak kongsikan di sini. Ini pun dah panjang lebar bercerita. Kalau ada masa, insyaallah saya kongsikan lagi. Kawan-kawan bolehlah cuba. Tak rugi pun kita melabur banyak untuk kesihatan. Insyaallah dividen yang Allah bagi sangat berbaloi. Semoga bermanfaat. - Nik Mohd Fahmi | PIXEL MEDIA




0 comments:

Post a Comment